Barzakh bermaksud
rintangan atau pemisahan. Alam barzakh ialah alam pertama daripada alam yang
kekal abadi di akhirat. Semua orang yang berada di dalam kubur dinamakan hidup
di alam barzakh.
Alam ini berada di
antara mati dan bangkit daripada mati. Apabila berada di dalam kubur, kita akan
disoal oleh dua malaikat yang bernama Munkar dan Nakir mengenai amalan yang
dilakukan semasa hidup di dunia.
Barzakh dari sudut
istilah pula ialah pendinding (hijab) yang terdapat di antara orang mati dan
orang hidup. Pendinding inilah yang menghalang orang mati kembali ke dunia.
Barzakh (pendinding) ini akan kekal sehingga hari Kiamat.
Beberapa Ayat
al-Quran Yang Menyatakan Azab Kubur
“Dan sesiapa yang
berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah
kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam
keadaan buta” (Surah Taha: 124)
Menurut Abu Sa‘id
al-Khudri dan Abdullah bin Mas‘ud Radhdiallahu ‘anhum perkataan ﺿﻨﻜﺎ (yang
sempit) adalah azab kubur. Inilah pendapat yang shahih.
“Mereka didedahkan
kepada bahan api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa berada dalam alam
Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat):
“Masukkanlah Firaun dan pengikutpengikutnya ke dalam azab api neraka yang
seberat-beratnya”. (Surah Ghafir: 46)
Sebahagian ulama’
menjadikan ayat di atas sebagai dalil sabitnya azab kubur. Pendapat ini
disepakati oleh Mujahid, ‘Akramah, Muqatil dan Muhammad bin Ka‘ab. Ayat di atas
adalah dalil yang menunjukkan bahawa azab kubur itu berlaku di alam barzakh.
(Al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, al-Qurtubi: 8/4415-4416)
Imam Ibn Kathir
ad-Dimsyaqi menyatakan bahawa Ahli Sunnah menjadikan ayat di atas sebagai dalil
yang kukuh berlakunya azab kubur di alam barzakh.
“Sesungguhnya
orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain daripada azab yang
tersebut”. (Surah At-Thuur: 47)
Al-Qurtubi menjelaskan
dalam tafsirnya bahawa azab itu adalah azab kubur. (AtTazkirah fi Ahwal
al-Mauta wa Umur al-Akhirat: 152 & Al-Qurtubi: 9/4786).
“Kamu telah dilalaikan
(daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat
dengan sebanyak-banyaknya (hartabenda, anak pinak, pangkat dan pengaruh).
Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian) kamu akan
mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)”. Sekali lagi
(diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian! Kamu akan mengetahui
kelak (akibatnya yang buruk pada hari Kiamat)! (Surah at-Takathur:
1-3)
Imam al-Qurtubi
menyatakan bahawa surah ini mengandungi perkataan-perkataan tentang azab kubur.
Oleh itu beriman dengannya adalah wajib. Inilah pegangan ahli Sunnah wa
al-Jama‘ah. (At-Tazkirah: 152 & al-Qurtubi: 10/5540-5541)
Beberapa Hadis-Hadis
Yang Menunjukkan Sabitnya Azab Kubur
Daripada riwayat Abi
Ayyub katanya:Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam keluar selepas matahari terbenam. Lalu Baginda mendengar suara.
Baginda bersabda: “Mayat Yahudi itu diazab di dalam kuburnya” (Hadis riwayat
Muslim dan al-Bukhari)
Daripada Ibnu Umar
Radhiallahu ‘anhuma: Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Sesungguhnya mayat itu diazab disebabkan oleh ratapan orang-orang
yang hidup” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Dalam riwayat Imam
Muslim: Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Bahawa mayat itu diazab kerana ratapan keluarga ke atasnya”. (Hadis
riwayat Muslim)
Maka jelas daripada
segala ayat al-Quran dan hadis yang shahih di atas bahawa azab kubur adalah
benar dan sekalian umat Islam wajib mempercayainya dan orang yang
mengingkarinya pula adalah ditakuti rosak akidahnya.

No comments: